Discover the Latest from YSD

Stay connected with the latest developments at Yayasan Sime Darby. Learn about the initiatives we are taking in our community and beyond.

Majlis penyerahan bantuan kembali ke sekolah 2025 bersempena Program Pasca Banjir dengan kerjasama JKM kelantan
Community & Health

TEKS UCAPAN: 
YBHG. PUAN SRI NORMAH HASHIM 
AHLI MAJLIS TADBIR URUS, YSD 

Salutasi:

  1. YBhg. Dato’ Hj. Mohd Zamri Bin Hj. Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan;
  2. YBrs. Tuan Md Yani Bin Mat Zin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan;
  3. YBrs. Dr Hjh Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif, YSD;
  4. YBrs. Encik Rusydee Bin Abdullah, Ketua Jajahan Pasir Mas;
  5. YBrs. Tuan Haji Fauzi bin Yazid, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Mas;
  6. YBrs. Encik Mohamad Amin Asyraf Bin Halim, Ketua Cawangan, Sime Industrial Kota Bharu;
  7. Tuan Hj Mohamad Bin Ab Rahman, Guru Besar SK Meranti; En. Mohd Azman Bin Ali, Guru Besar SK Gelang Mas; Puan Siti
  8. Marina Binti Abd Malek, Guru Besar SK Tok Sangkut; dan Tuan Haji Rok Man bin Mohammad, Pengetua SMK Ketereh;
  9. Guru-guru yang dihormati dan anak-anak yang dikasihi,
  10. Para sukarelawan YSD Huluran Kasih dari Sime Industrial Kota Bharu,
  11. Hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita diberikan kesempatan untuk bersama-sama dalam program Bantuan Kembali ke Sekolah yang dianjurkan oleh Yayasan Sime Darby (atau YSD) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (atau JKM) Kelantan, Jabatan Pendidikan Negeri (atau JPN) Kelantan, dan Sime Industrial Kota Bharu. Tahun ini, program YSD akan memberi manfaat kepada 1,651 pelajar dari empat sekolah di negeri Kelantan.
  2. Hadirin yang saya hormati sekelian, Bencana banjir yang melanda negeri Kelantan pada Oktober 2024 telah memberi kesan besar kepada komuniti. YSD dengan kerjasama JKM Negeri Kelantan dan Sime Industrial, telah mengagihkan bantuan pek makanan kering, kit kebersihan, selimut, dan 2,000 tikar lipat kepada 6,300 keluarga yang terkesan. Secara keseluruhan, bantuan berjumlah lebih RM930,000 melalui pelbagai inisiatif kecemasan dan pasca banjir telah diperuntukkan oleh YSD.
  3. Banjir juga memberi kesan kepada anak-anak kerana mereka menghadapi kesukaran untuk kembali ke sekolah. Melalui kerjasama erat dengan JKM Negeri Kelantan, pada hari ini, YSD akan menyalurkan Bantuan Kembali ke Sekolah kepada 1,247 pelajar daripada tiga sekolah yang paling terkesan akibat banjir di Pasir Mas, iaitu Sekolah Kebangsaan Meranti, Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, dan Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut.
  4. Sejak YSD mula bekerjasama dengan JKM Negeri Kelantan pada tahun 2022, jumlah keseluruhan bantuan kecemasan dan pasca banjir di Kelantan telah pun mencecah lebih RM1.3 juta, mencerminkan komitmen berterusan YSD dalam membantu mereka yang memerlukan di Kelantan.
  5. Bersempena dengan majlis pada hari ini, YSD dengan kerjasama Sime Industrial Kota Bharu juga akan turut memberi sokongan Bantuan Kembali ke Sekolah kepada 404 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh.
  6. Setiap pelajar yang menerima Bantuan Kembali ke Sekolah hari ini akan menerima kelengkapan persekolahan termasuk beg sekolah, alat tulis, buku tulis, pensel warna, sepasang stoking, serta baucar bernilai RM100 untuk pembelian pakaian seragam sekolah. Dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai hampir RM260,000, kami berharap ia akan dapat membantu meringankan beban ibu bapa dan memastikan anak-anak dapat kembali ke sekolah dengan semangat baru.
  7. Hadirin sekalian, Sebagai badan kebajikan kepada Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad dan Sime Darby Property Berhad, YSD telah menyumbang lebih daripada RM1.1 bilion sepanjang 42 tahun untuk memberi bantuan dan sokongan dalam bidang Pendidikan, Alam Sekitar, Komuniti & Kesihatan, Sukan, serta Seni & Budaya.  
  8. Di Kelantan, kerjasama selama sedekad bersama Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (atau YOKUK) telah memberi manfaat kepada lebih daripada 1,200 pesakit dan ahli keluarga mereka melalui penjagaan paliatif di rumah secara percuma, di samping melatih lebih daripada 1,900 profesional kesihatan di seluruh negara.
  9. YSD juga bekerjasama dengan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (atau IDEAS) untuk meningkatkan akses kepada pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli yang melibatkan pelajar, ibu bapa dan para guru dari 3 buah sekolah di Gua Musang sejak Julai 2023.
  10. Dalam bidang sukan, program Kriket Adiwira dengan kerjasama Malaysian Cricket Association (MCA) memberi peluang kepada pelajar sekolah rendah menerima latihan dan menyertai kejohanan kriket.
  11. Dalam bidang Seni & Budaya, YSD menyokong Kelab YSD-Kakiseni Jr serta produksi KL Shakespeare Players (KLSP) bagi memberi akses kepada pelajar untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti seni. Pendekatan KLSP melalui teater juga membantu meningkatkan minat pelajar terhadap pembelajaran bahasa Inggeris dan membina kemahiran insaniah, melibatkan lebih 50,000 murid sekolah rendah di seluruh negara.
  12. YSD percaya bahawa pendidikan adalah asas kepada masa depan yang lebih cerah. Oleh itu, kami sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti, khususnya bagi golongan yang memerlukan atau terjejas akibat bencana alam. Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri, JKM, dan JPN dalam usaha ini.
  13. Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini, termasuk sukarelawan, pihak sekolah, serta rakan-rakan strategik YSD. Tanpa sokongan anda semua, inisiatif ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan jayanya.
  14. Akhir kata, marilah kita terus berganding bahu dalam usaha membina masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita. Semoga dengan bantuan ini, mereka lebih bersemangat untuk menimba ilmu dan mencapai kejayaan yang cemerlang.
  15. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini saya merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Kembali Ke Sekolah 2025 Bersempena Program Pasca Banjir.
  16. Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.